Sunday, November 15, 2015

Anadolu le mémoire #4



Usai solat Zohor tengah hari itu, kami mengambil sedikit masa untuk melihat-lihat seni bina di kawasan dalam Green Mosque. Kami hampir beredar ketika di sapa Yunus. Lelaki Turki yang pada awalnya saya sangka penjaga masjid.

Dia bertanya sekiranya kami sudah pun melawat kawasan dalam masjid.Kami mengangguk lalu dia melanjutkan pertanyaanya “Do you know history of this camii?”
Kami melopong, berpandangan sesama sendiri
“No, we don’t…” masing-masing menjawab perlahan
“Come, let me show you”

Kami menggekor Yunus dari belakang. Yesil Camii yang sentiasa penuh dengan pengunjung sama ada muslim atau pun bukan muslim. Mereka menikmati senibina Islam sambil menghayati sejarahnya melewati tahun-tahun kegemilangan Islam saat mula bertapak di Bursa.

Yunus menerangkan satu persatu bahagian yang terdapat di dalam Yesil Camii. Tahulah kami yang sebenarnya satu ketika dahulu masjid ini bukan sekadar masjid. Ia turut dijadikan salah satu tempat pemerintahan kerajaan Uthmaniah dan salah satu daripada bilik di situ di khaskan untuk kegunaan Sultan.

Dia menunjukkan lukisan yang terdapat pada dinding-dinding marmar di sekitar dalam masjid. Lukisan yang hampir pudar itu perlu ditekap kembali menggunakan cat emas dan beberapa campuran lain. Dan lukisan itulah yang dikerjakan oleh Yunus dan anak-anak buahnya selama beberapa tahun mereka di situ. Tak dapat nak bayangkan keghairahan apakah yang seperti itu. People with passion, segalanya mungkin kan?


Sebelum melanjutkan perjalanan, Yunus mengajak kami untuk singgah di studio berhampiran Yesil Camii. Bagunan lama Turkish hamam yang mencecah ratusan tahun itu di jadikan kedai cenderahati dan seramik miliknya. Petang itu kami menikmati Apple Tea sambil melihat-lihat koleksi sejadah, karpet dan alas meja kepunyaan Yunus. Kebanyakkan sejadah itu adalah hasil tangan gadis-gadis di kawasan pendalaman. Dibeli dengan harga murah lalu dia menjualnya kembali di sini.

Satu-satu Yunus mengeluarkan segala jenis sejadah yang ada. Baik dari hasil tangan ataupun yang di perbuat daripada mesin. Saya masih berkira-kira saat teman-teman yang lain sudah memilih sejadah masing-masing. Dalam hati masih risau jika kami di tipu. Sedari awal lagi Yunus tegaskan, tidak mengapa kalau tidak mahu membeli. Tapi dia tetap akan layan tetamunya sebaik mungkin.

Apple tea sudah habis secawan, sejadah sudah bermacam warna dan design dikeluarkan. Saya masih lagi diam tanpa jawapan. Melihat saya masih berfikir panjang, dia bertanya
“What is in your mind sister? Tell me” saya tergelak.

“Nowadays everything is in the internet. If you good to your customer, people always give you a good review otherwise people always talking bad about you”

Saya mengakui ada betulnya apa yang di kongsi Yunus. Segala benda berada di hujung jari. Kalau kita buat baik, orang serata dunia akan bercerita perihal yang baik-baik. Tapi kalau kita menipu, sekejab sahaja maklumat akan tersebar. This is how borderless world help us to be better.

Dengan segala kecelaruan dalam diri, akhirnya saya cuma membeli sehelai sahaja sejadah dari Yunus dengan harga 35 Turki Lira, sekadar memujuk hati supaya tidak kecewa bila tiba di Istanbul nanti ahaa.Sebelum beredar, Yunus sempat pesan kalau ada apa-apa masalah boleh hubungi dia. InsyaAllah dia akan cuba membantu.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Petang itu masing-masing pulang dengan penuh barang di tangan. Hampir separuh hati tertawan dengan kebaikkan dan keramahan Yunus. Sedikit terinspirasi dari dia dengan caranya dalam mengelola perniagaan. Jujur apa yang Islam ajarkan. Dan saat jujur itu hampir terhakis dari setiap antara kita, saya masih temuinya dalam diri seorang yang bernama Yunus Vurmaz, nun jauh di Turki :)