Sunday, September 22, 2019

Mémoire of Taiwan #1 | Hidup ni jangan suka ikut-ikut orang




Pagi tu saya keluar hostel agak awal. Hajat hati nak melawat Rainbow village awal pagi, tidaklah nanti bersesak-sesak dengan orang ramai memandangkan tempat yang saya lawati tu antara tourist spot yang agak terkenal di Taichung ditambah pula dengan lokasi lain yang saya nak pergi memang jauh-jauh belaka. Jadi saya mulakan hari dengan tempat yang lebih dekat dahulu.

Dari Taichung Station saya menuju ke Xinwuri Station dengan menggunakan train. Sampai sahaja di Xinwuri berkejaran saya mencari platform bus untuk ke Rainbow village. Memang sepanjang beberapa hari di Taiwan, saya sangat bergantung dengan google map untuk ke satu-satu tempat. Timing dia pun sangat accurate. Kalau google map cakap lagi 5 minit bas akan sampai, makan 5 minit kemudian nampaklah bas yang ditunggu-tunggu tu.

Instead of ambil bas nombor 800, saya ambil bas lain yang dicadangkan oleh google map. Waktu tu memang ada beberapa local people yang tunggu di platform yang sama. Tiba masanya, bas pun sampai. 2 orang yang bersama-sama saya tadi naik nak touch easy card dia orang sambil bertanyakan sesuatu pada driver bas.

Tak pasti apa yang driver tu bagitahu. Tapi dua wanita tadi turun kembali. So nampak mereka turun dari bas, saya pun tak jadi nak naik. Mungkin servis bas dah ni dah habis kot, teka saya tanpa bertanya lanjut. Bas tu pun berlalu, elok selang beberapa minit bas nombor yang sama sampai. Dua wanita tadi naik dan terus ambil tempat duduk. Saya pun ikut sekali.

Laju bas bergerak, tapi yang anehnya bus yang saya naik mengahala balik ke pusat bandar. Sepatutnya dari stesen bas tadi tinggal 3 lagi station nak sampai ke Rainbow Village. Ah sudah salah naik bas la gamaknya ni, terus saya tekan loceng dan berhenti di stesen bas yang berdekatan. Lepas ke hulur hilir mencari arah dan jugak bas lain, akhirnya berjaya jugak sampai ke tempat yang ingin saya tuju. Sampai-sampai matahari dah tegak atas kepala, orang pun dah ramai membanjiri kawasan Rainbow Village ni.

Itulah padahnya, ikut-ikut orang tanpa tahu tujuan orang tu nak ke mana. Saya tersenyum mengenang kebodohan sendiri. Hidup kita ni ada jalannya yang tersendiri. Bukan semua mempunyai destinasi yang sama. Ada yang nak ke timur, ada yang nak ke barat.

Tapi lumrah manusia itu memang macam tu kan, begitu mudah benar terikut-ikut. Ikut tanpa tahu tujuanya ke mana. Sekadar ikut sebab tak mahu terasing dalam keramaian. Orang pergi makan kedai hipster, kau pun nak makan jugak. Orang beli baju branded, kau pun beli jugak biarpun poket kau rabak. Orang beli kereta mewah, kau pun tak nak kalah. Bila kawan-kawan kau semua dah kawin, kau pun nak kawin jugak (eh!). Tanpa sedar kau sendiri pun tak pasti semua yang kau buat ni untuk apa sebenarnya?

Tidak salah menyongsang arus dan tiada salahnya juga menjadi yang asing.
Selagi mana kau tahu ke mana arah yang ingin kau tuju, insyaAllah selamanya kau tak akan sesat.


September 2019
Taichung, Taiwan