Tuesday, June 4, 2019

Nota Penghujung Ramadhan

Lama dah rasa nak menulis, tapi macam tak ada idea. Owh entry pasal Turki pun belum habis, InsyaAllah sambung lagi nanti lepas habis puasa.

Alhamdulillah sampai juga kita ke penghujung Ramadhan, sayu dia lain macam pulak tahun ni. So korang macam mana Ramadhan? Harap semuanya baik-baik sahaja. Tahun ni rasanya tahun pertama tak attach dekat mana-mana project masa bulan puasa lepas hampir sembilan tahun berkerja kat company ni. Dalam erti kata lain tidaklah terkejar-kejar seperti selalunya.

Seingat saya, bulan puasa tahun lepas paling mencabar sekali. Berulang-alik dari Cyberjaya – Ampang setiap hari, penatnya ya ampun, Tuhan ajelah yang tahu. Hari pertama puasa lagi saya dah terlajak tidur, letih punya pasal tak bangun sahur. Sedar-sedar je, dengar azan subuh. Padahal nasi buat sahur dah tanak malam sebelum. Sedih woo tapi paling terharu, lepas kes tu terus officemate saya buat wakeup call kejutkan bangun sahur keesokkan harinya. Thank you sista!

Tahun lepas jugak saya dan seorang lagi officemate ada ambil kelas Mandarin. Hampir lima ke enam kelas jatuh pada bulan puasa. Maka berkejaranlah kami lepas kerja sambung belajar mandarin. Tiap-tiap malam masuk kelas tersengguk-sengguk tahan mengantuk.

Mana tidaknya pergi kerja tak nampak matahari, balik kerja pun matahari dah tak ada. Boleh kira dengan jari berapa kali je dapur saya berasap dan semua skill memasak saya pun turut ke laut. Untung lah kalau satu hari tu tak bergaduh dengan client ataupun bos. Tapi kenyataanya memang hari-hari memendam perasaan orang kata silap haribulan boleh meletus bak gunung berapi.

Pernah sekali usai berbuka dalam kereta saya cakap pada seorang teman: “Mungkin Ramadhan terbaik bagi sesetengah orang tu dengan memperbanyakkan amal, pergi terawikh ada masa buat tahajud dan sebagainya. Tapi mungkin Ramadhan yang terbaik buat kita tu datang dari hal-hal kecil seputar hidup yang mana kalau kita mampu marah mahupun mengeluh tapi kita memilih untuk sabar, mungkin itulah yang terbaik” acah-acah nak sedapkan hati sendiri.

Jadi tahun ini sengaja saya tak accept mana-mana assignment untuk guiding, tak plan nak buat masjid hopping mahu pun travel kemana-mana sepanjang bulan puasa. Sekadar menjalani hari-hari Ramadhan yang biasa untuk merasa menjadi lebih manusia.

Dulu entah macam mana saya terluah dekat seorang teman bila saya rasa tak happy dengan diri sendiri.Dia tanya kenapa?

“Sebab saya rasa diri saya yang semalam lagi baik dari yang sekarang”

Tergelak besar dia dengan jawapan saya “ Awak ni perfectionist la Ijan” dia sambung gelak lagi.

Saya pun tergelak sekali “Tak akak, saya bukan perfectionist la! Saya cuma tak nak jadi golongan yang dicelakakan Tuhan sebab hari semalam yang lebih elok.”

Dia diam, saya diam.

Sunyi



Ramadhan 1440H, seakan terjumpa kembali diri sendiri yang telah lama hilang. Alhamdulillah untuk semua hal yang Allah mudahkan. Moga kita tetap istiqamah dalam kebaikkan.


Ramadhan 30, 1440H
Norizan Syahnan