Tuesday, October 24, 2017

Mémoire of Trans Japan Korea #4



Satu pagi saat kami di Osaka, kawan saya mengomel
“Engkorang ni asyik pergi temple je, bukan nak cari masjid”

Saya tergelak sendirian, teringat Masjid Tokyo yang saya skip disebabkan kekangan waktu, Masjid Kyoto (Kyoto Prayer Hall) yang kebetulan tutup berikutan cuti golden week. Kecewa agaknya sebab dia betul-betul mahu menulis perihal makanan halal dan muslim society di Jepun.

Lepas berkira-kira kami sepakat untuk mengubah hala, mencari Masjid di sekitar bandar Osaka. Dan pencarian itu membawa kami ke Cibune. Stesen keretaapi paling hampir dengan Masjid Osaka. Sepanjang jalan kami bertemu dengan anak-anak kecil jepun yang baru pulang dari sekolah.


Teringat satu documentary yang pernah diceritakan oleh seorang kawan, bagaimana selamatnya berada di Jepun sehingga warga Jepun begitu bersahaja membiarkan anak-anak kecil seusia empat ke lima tahun pergi ke kedai seorang diri.

Lima minit berjalan, kami sampai di hadapan Masjid Osaka. Kami ambil peluang untuk solat jamak di situ sebelum meneruskan perjalanan ke Hiroshima petang nanti. Usai solat, kawan kami perkenalkan dengan Imam Masjid Osaka yang juga dari Malaysia. Ustaz ini merupakan anak jati Kelantan, baru beberapa bulan berhijrah ke Osaka. Terlalu jarang jumpa orang Malaysia di situ katanya, lalu diajaknya kami minum teh berdekatan dengan kawasan Masjid.


Bercerita perihal komuniti Islam dan makanan halal di sekitar Jepun. Ternyata bilanganya masih terlalu sedikit. Ramai komuniti Islam yang tinggal berdekatan dengan Masjid Osaka merupakan warga Indonesia dan Timur Tengah. Ada yang belajar, ada yang bekerja dan berniaga.

Pertemuan singkat tapi banyak yang kami belajar terutamanya perihal masyarakat Jepun. Sungguhpun mereka baik dalam serba serbi masih ada lompong kosong yang belum dipenuhi.

Dan angin dari Sungai Kanzaki berhembus lembut. Menghantar kami pulang dengan seribu kenangan tentang Osaka dan seisinya.