Tuesday, October 24, 2017

Mémoire of Trans Japan Korea #4



Satu pagi saat kami di Osaka, kawan saya mengomel
“Engkorang ni asyik pergi temple je, bukan nak cari masjid”

Saya tergelak sendirian, teringat Masjid Tokyo yang saya skip disebabkan kekangan waktu, Masjid Kyoto (Kyoto Prayer Hall) yang kebetulan tutup berikutan cuti golden week. Kecewa agaknya sebab dia betul-betul mahu menulis perihal makanan halal dan muslim society di Jepun.

Lepas berkira-kira kami sepakat untuk mengubah hala, mencari Masjid di sekitar bandar Osaka. Dan pencarian itu membawa kami ke Cibune. Stesen keretaapi paling hampir dengan Masjid Osaka. Sepanjang jalan kami bertemu dengan anak-anak kecil jepun yang baru pulang dari sekolah.


Teringat satu documentary yang pernah diceritakan oleh seorang kawan, bagaimana selamatnya berada di Jepun sehingga warga Jepun begitu bersahaja membiarkan anak-anak kecil seusia empat ke lima tahun pergi ke kedai seorang diri.

Lima minit berjalan, kami sampai di hadapan Masjid Osaka. Kami ambil peluang untuk solat jamak di situ sebelum meneruskan perjalanan ke Hiroshima petang nanti. Usai solat, kawan kami perkenalkan dengan Imam Masjid Osaka yang juga dari Malaysia. Ustaz ini merupakan anak jati Kelantan, baru beberapa bulan berhijrah ke Osaka. Terlalu jarang jumpa orang Malaysia di situ katanya, lalu diajaknya kami minum teh berdekatan dengan kawasan Masjid.


Bercerita perihal komuniti Islam dan makanan halal di sekitar Jepun. Ternyata bilanganya masih terlalu sedikit. Ramai komuniti Islam yang tinggal berdekatan dengan Masjid Osaka merupakan warga Indonesia dan Timur Tengah. Ada yang belajar, ada yang bekerja dan berniaga.

Pertemuan singkat tapi banyak yang kami belajar terutamanya perihal masyarakat Jepun. Sungguhpun mereka baik dalam serba serbi masih ada lompong kosong yang belum dipenuhi.

Dan angin dari Sungai Kanzaki berhembus lembut. Menghantar kami pulang dengan seribu kenangan tentang Osaka dan seisinya.


Wednesday, August 16, 2017

Mémoire of Trans Japan Korea #3: Honolu dan Ramen




Sepanjang di Jepun, boleh kira dengan jari berapa kali kami makan di kedai. Nak save budget punya pasal. Hari-hari makan onigiri ataupun tapau makanan yang kami bawa dari Malaysia.

Malam itu sebelum ke Dontobori kami singgah ke Halal Osaka Ramen Honolu. Ingin mencuba ramen halal yang banyak mendapat feedback positif dari orang Malaysia yang berkunjung ke sana.  Café kecil yang terletak di tengah-tengah deretan kedai tenggelam dalam kepekatan malam. Mujur ada Offline Map menunjukkan kami ke jalan yang terang ahaa.

Saat kami tiba ada sorang writer dari Singapura yang baru sahaja selesai menikmati makan malamnya di situ. Dia datang untuk interview pemilik Restaurant Honolu, malangnya pemilik kedai tiada di situ. Sambil menikmati ramen, kami mendengar soalan-soalan yang diajukan kepada perkerja-pekerja tersebut sebagai wakil kepada pemilik kedai.

Sesekali saya mencelah bertanya sekiranya pemilik kedai ini seorang muslim. Mereka menggeleng. Saya kagum dan tertanya-tanya macam mana pemilik kedai ni boleh terpikir nak buka kedai makanan halal sedangkan dia bukan seorang muslim.

Pemilik kedai ini membuka kedai halal ramen sebab dia nampak potensi dan sambutan makananan halal yang masih lagi sedikit di sekitar Jepun. Mereka bercerita nama Honolu di ambil kerana bos mereka terlalu ingin ke Honolu di Hawaii. Tidak kesampaian ke sana lalu di bukanya Honolu di Osaka, Japan.

Daripada mee, rempah ratus, daging ayam,  semua bahan mentah yang digunakan akan di pastikan status halalnya,. Tidak hairanlah jika Halal Media Japan turut mencadangkan muslim traveler untuk singgah ke sini.

Perkerja-perkerjanya semua baik-baik belaka, ramah melayan soalan kami dan reporter dari Singapura tadi. Kebanyakkan mereka beerasal dari Indonesia, belajar Bahasa Jepun di sini lalu berkerja sambilan sementara menunggu semester habis. Mereka tak lokek becerita tentang makanan –makanan yang boleh di makan terutamanya bagi pelancong muslim.

Memang di sesetengah kawasan, restaurant makanan halal sangat sukar di dapati. Tetapi sebagai alternatif lain, boleh ambil onigiri telur, tuna atau seafood. Orang cakap kalau pergi negara yang minoritinya muslim tu, bab paling susah adalah untuk mencari makanan halal. Itu saya setuju. Tapi dari situlah jugak yang akan kita rasa indah dalam sebuah perjalanan sebab sebagai muslim mencari yang Halal itu adalah wajib!

Thursday, August 3, 2017

Mémoire of Trans Japan Korea #2



Pagi itu kami berbasikal ke Kawaguchiko Lake. Menikmati keindahan pagi-pagi di sekitar gunung Fuji. Rezeki kami dapat melihat bunga Sakura di sini. Sesekali di tiup angin, gugur kelopak Sakura jatuh menyembah bumi. Nyaman!

Sungguh ini yang akan saya rindui selalu.

Sesekali kami berhenti, bergambar dengan bunga sakura dan Gunung Fuji. Puas bergambar kami mengayuh kembali hingga sampai satu kawasan mengahala ke Kawaguchiko Museum of Art, kami jumpa satu tanah lapang dengan deretan pokok Sakura.

Saya berhenti, park basikal, bawa keluar camera. Ada seorang lelaki tua yang sedari tadi memang disitu. Setia dengan camera dan tripodnya. Ingin menangkap gamba Gunung Fuji barangkali, namun sayang Gunung Fuji yang begitu gah berdiri terlidung di balik awan. Bersungguh dia menunggu.

Kawan saya menengur, berbasa-basi ajak bersembang. Bercerita perihal perjalanan kami dari Sapporo hingga ke Korea. Berkongsi keindahan negara Jepun dan Malaysia serta gambar yang kami ambil sepanjang perjalanan. Biarpun ia umpama ayam dan itik. Saya kira dia faham, ramah benar melayan kami, sesekali dia ketawa dan tersenyum memuji-muji kami.

Sebelum menyambung kembali kayuhan kami bergambar kenang-kenangan. Kawan saya menyeluk poket, mencari jika ada sesuatu yang boleh dia berikan buat kenangan pada pak cik itu. Ada duit syiling lima puluh sen, lalu di hulur padanya. “Please come to Malaysia” pesan kawan saya dan kami pun berlalu.

Sesekali terkenang, saya jadi kaum dengan lelaki seperti itu, umurnya sudah lanjut tapi semangatnya tidak. Masih sama seperti anak muda. Sungguh umur yang meningkat saban tahun hanya sekadar nombor!

April 2017 - Kawaguchiko Lake, Japan

Saturday, July 29, 2017

Mémoire of Trans Japan Korea #1


Pernah sekali kawan saya bertanya sewaktu kami di Jepun hampir dua bulan yang lalu. Apa yang membuat saya merancang ke Japan awal-awal dahulu. Saya senyap tidak menjawab, cuba memikir kembali apa sebenar-benarnya yang membawa saya kembara ke bumi matahari tebit ini.

Mengimbau kembali tahun 2013, saat mencari-cari maklumat berkenaan musim bunga dan Sakura di Korea, saya terjumpa satu gambar. Subhanallah cantik sangat. Gamba Wisteria Tunnel di Kitakyushu. Masa itu, banyak jumpa blog yang share gambar Wisteria Tunnel ni tapi tidak satu pun yang saya jumpa info berkenaan tempat ini. Dari saat situ bermulalah misi saya mencari segala maklumat tentang Wisteria Tunnel. Semua maklumat saya simpan berharap sangat dapat kesitu satu hari nanti.


Jepun, Islam tanpa Muslim

Hampir setahun kemudian, saya terbaca artikel Ustaz Hasrizal dalam website SaifulIslam.com. Tajuknya sunguh sederhana: "Perlukah Jepun Kepada Wa al-‘Asr?". Soalanya santai dan bersahaja,

“Kalau kita mahu ajak orang Jepun kepada Islam, apa yang Islam hendak tawarkan kepada orang Jepun?” 

Mengajak satu kaum yang bermasalah kepada Islam, untuk menyelesaikan masalahnya dengan Islam sebagai penyelesaian, mungkin jelas hujung pangkalnya.

Namun, bagaimana hendak mengajak satu kaum yang begitu kemas tatacara hidupnya? Sebuah negara yang begitu maju, bersih, dan menepati masa seperti Jepun, apa lagi sebab untuk mereka merasa perlu kepada Islam?”

Saya tertanya-tanya, hebat sangat kah Jepun?

Dalam artikel tu Ustaz Hasrizal cuba untuk mengupas kembali tragedi kereta api Amagasaki semasa tahun 2005. Tragedi yang mengorbankan 107 nyawa dan 562 orang lagi cedera. Saat itu saya masih belum dapat hadam mengapa tragedi keretaapi yang dia bahaskan. Sehinggalah saat pertama kali menjejakkan kaki ke sana melihat bagaimana kompleksnya system keretapi dan betapa pentingnya ketepatan masa mereka saya menjadi kagum sendirian.

Jepun bukan negara biasa-biasa. Faham jugalah saya mengapa seorang sahabat bisa jatuh cinta saat kali pertama ke sana. Sungguhpun mereka bukan sebuah negara Islam, tetapi akhlak dan perilaku mereka jauh lebih baik dari kita yang muslim ini.

Dan dua perkara inilah yang akhirnya membawa saya ke sini, jauh beribu batu hanya kerana ingin melihat dengan mata dan merasainya sendiri dengan hati.

April 2017 - Tokyo, Japan