Wednesday, January 20, 2016

Anadolu le mémoire #5



Pagi itu, Yunus mencadangkan kami untuk menggunakan train ke Emek station dan dari situ kami boleh menaiki bas terus ke Güzelyalı. Kami memililih menaiki bas kerana menyangkakan stesen bas dan stesen keretapi Emek terletak di kawasan berhampiran.

Setibanya di Emek Station kami terpinga-pinga. Betul-betul kehilangan arah. Mencari-cari stesen bas untuk ke Güzelyalı. Jauh sudah berjalan, kami semakin menghampiri jalan besar. Saya kira teman-teman yang lain rasa semacam mahu give up sebab tak nampak ada bayang-bayang stesen bas. Laju saya memintas menawarkan diri untuk melihat-lihat apa yang ada di hadapan. Saat itu alternatif terakhir kami adalah berpatah balik ke stesen bas Emek.

Terkejut saat di sapa seorang lelaki Turki. Dia yang saya tegur saat turun dari bas di Stesen Emek tadi. Bertanyakan arah untuk mendapatkan bas ke Güzelyalı. Dia menawarkan untuk membawa kami ke sana. Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju, tiga lagi rakan saya mengekor dari belakang. Risau barangkali, takut-takut di bawa ke kedai makan sekali lagi.

Sepanjang perjalanan kami berbual, berbasa-basi biarpun Englishnya tidak selancar Yunus namun masih boleh di fahami. Kami menyeberangi jalan besar yang jikalau di Malaysia luasnya serupa lebuhraya utara selatan. Laju kami melintas tatkala lampu merah, risau jika tidak sempat sampai ke hujung jalan saat lampu bertukar hijau.

Hampir 2km kami berjalan dari stesen Emek, kalau tidak kerana lelaki ini mungkin kami dah berpatah balik. Bas untuk ke Güzelyalı sudah lama berada disitu, penumpang pun sudah memenuhi tempat duduk bas. Dia memaksa kami untuk tunggu sebentar, mahu top up kad transit di stesen kereta api katanya. Kami tercengang, tak sempat berkata apa dia berlari laju menuju ke stesen bawah tanah.

Beberapa minit kemudian, dia kembali. Menyuruh kami naik bas tersebut lalu dibayarkan tambang kami bertiga dengan menggunakan kad transit miliknya. Dia menolak saat kami menghulur duit sebagai ganti

“Its ok sister, we are muslim!”
Kami masing-masing seakan terpana, Allah baiknya!

Dia berlalu, setelah kami mengucapkan terima kasih. Dari jauh sayup-sayup kami lihat lelaki itu di seberang landasan. Kereta api yang datang di biarkanya berlalu. Masih di situ menunggu bas kami bergerak pergi

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Selepas apa yang kami lalui ketika dalam perjalanan ke Cappadocia
Lelaki Turki itu mengubah persepsi saya dalam banyak hal.
Ia, Tuhan menjadikan manusia itu berbeda-beda.
Dan orang yang baik itu masih selalu ada.

No comments: