Wednesday, January 20, 2016

Anadolu le mémoire #5



Pagi itu, Yunus mencadangkan kami untuk menggunakan train ke Emek station dan dari situ kami boleh menaiki bas terus ke Güzelyalı. Kami memililih menaiki bas kerana menyangkakan stesen bas dan stesen keretapi Emek terletak di kawasan berhampiran.

Setibanya di Emek Station kami terpinga-pinga. Betul-betul kehilangan arah. Mencari-cari stesen bas untuk ke Güzelyalı. Jauh sudah berjalan, kami semakin menghampiri jalan besar. Saya kira teman-teman yang lain rasa semacam mahu give up sebab tak nampak ada bayang-bayang stesen bas. Laju saya memintas menawarkan diri untuk melihat-lihat apa yang ada di hadapan. Saat itu alternatif terakhir kami adalah berpatah balik ke stesen bas Emek.

Terkejut saat di sapa seorang lelaki Turki. Dia yang saya tegur saat turun dari bas di Stesen Emek tadi. Bertanyakan arah untuk mendapatkan bas ke Güzelyalı. Dia menawarkan untuk membawa kami ke sana. Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju, tiga lagi rakan saya mengekor dari belakang. Risau barangkali, takut-takut di bawa ke kedai makan sekali lagi.

Sepanjang perjalanan kami berbual, berbasa-basi biarpun Englishnya tidak selancar Yunus namun masih boleh di fahami. Kami menyeberangi jalan besar yang jikalau di Malaysia luasnya serupa lebuhraya utara selatan. Laju kami melintas tatkala lampu merah, risau jika tidak sempat sampai ke hujung jalan saat lampu bertukar hijau.

Hampir 2km kami berjalan dari stesen Emek, kalau tidak kerana lelaki ini mungkin kami dah berpatah balik. Bas untuk ke Güzelyalı sudah lama berada disitu, penumpang pun sudah memenuhi tempat duduk bas. Dia memaksa kami untuk tunggu sebentar, mahu top up kad transit di stesen kereta api katanya. Kami tercengang, tak sempat berkata apa dia berlari laju menuju ke stesen bawah tanah.

Beberapa minit kemudian, dia kembali. Menyuruh kami naik bas tersebut lalu dibayarkan tambang kami bertiga dengan menggunakan kad transit miliknya. Dia menolak saat kami menghulur duit sebagai ganti

“Its ok sister, we are muslim!”
Kami masing-masing seakan terpana, Allah baiknya!

Dia berlalu, setelah kami mengucapkan terima kasih. Dari jauh sayup-sayup kami lihat lelaki itu di seberang landasan. Kereta api yang datang di biarkanya berlalu. Masih di situ menunggu bas kami bergerak pergi

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Selepas apa yang kami lalui ketika dalam perjalanan ke Cappadocia
Lelaki Turki itu mengubah persepsi saya dalam banyak hal.
Ia, Tuhan menjadikan manusia itu berbeda-beda.
Dan orang yang baik itu masih selalu ada.

Friday, January 8, 2016

Note to Self #1


Nota pertama selepas  lapan hari menjengah ke tahun baru.

Tengah hari tadi bersembang dengan salah seorang teman sekerja. She just joined our project team few days ago. Pada awalnya, saya tak berapa pasti sama ada dia sudah pun berkahwin atau tidak. Tapi bila dia mula bercerita perihal suaminya, dengan lancarnya soalan yang keluar dari mulut saya:
"Anak akak berapa orang?"
dia senyum dan jawab, "patutnya dua orang..."

Saya dapat hidu sepertinya saya sudah bertanyakan soalan yang salah,
Sangat pasti!

Dia mula bercerita, perihal sorang anaknya gugur ketika dalam kandungan, seorang lagi meninggal kerana tak cukup nutrition. Saya tidak melanjutkan persoalan, takut-takut membuka banyak cerita silam yang boleh jadi mahu dilupakan.

Saya berkongsi denganya perihal anak buah saya yang juga pergi hampir setahun yang lalu. Saya harap dia tak merasa sakit keseorangan.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Usai makan tengah hari tadi, seharian saya menempelak diri sendiri atas keterlanjuran lidah berkata-kata. Saya kira saya patut berhati-hati terumanya bila bertanyakan hal-hal yang lebih peribadi. Seperti mana saya semakin annoy bila orang bertanyakan perihal kahwin, mungkin itu juga lah perasaanya yang dirasakan bagi pasangan yang masih belum punya rezeki untuk memiliki anak.

Hari ni saya mengingatkan kembali diri sendiri, mari menjadi hati-hati yang lebih peka, lebih sensitive pada kehidupan sekeliling kita.
Hidup bukan mudah untuk sesetengah daripada kita.
Kan?

Sunday, November 15, 2015

Anadolu le mémoire #4



Usai solat Zohor tengah hari itu, kami mengambil sedikit masa untuk melihat-lihat seni bina di kawasan dalam Green Mosque. Kami hampir beredar ketika di sapa Yunus. Lelaki Turki yang pada awalnya saya sangka penjaga masjid.

Dia bertanya sekiranya kami sudah pun melawat kawasan dalam masjid.Kami mengangguk lalu dia melanjutkan pertanyaanya “Do you know history of this camii?”
Kami melopong, berpandangan sesama sendiri
“No, we don’t…” masing-masing menjawab perlahan
“Come, let me show you”

Kami menggekor Yunus dari belakang. Yesil Camii yang sentiasa penuh dengan pengunjung sama ada muslim atau pun bukan muslim. Mereka menikmati senibina Islam sambil menghayati sejarahnya melewati tahun-tahun kegemilangan Islam saat mula bertapak di Bursa.

Yunus menerangkan satu persatu bahagian yang terdapat di dalam Yesil Camii. Tahulah kami yang sebenarnya satu ketika dahulu masjid ini bukan sekadar masjid. Ia turut dijadikan salah satu tempat pemerintahan kerajaan Uthmaniah dan salah satu daripada bilik di situ di khaskan untuk kegunaan Sultan.

Dia menunjukkan lukisan yang terdapat pada dinding-dinding marmar di sekitar dalam masjid. Lukisan yang hampir pudar itu perlu ditekap kembali menggunakan cat emas dan beberapa campuran lain. Dan lukisan itulah yang dikerjakan oleh Yunus dan anak-anak buahnya selama beberapa tahun mereka di situ. Tak dapat nak bayangkan keghairahan apakah yang seperti itu. People with passion, segalanya mungkin kan?


Sebelum melanjutkan perjalanan, Yunus mengajak kami untuk singgah di studio berhampiran Yesil Camii. Bagunan lama Turkish hamam yang mencecah ratusan tahun itu di jadikan kedai cenderahati dan seramik miliknya. Petang itu kami menikmati Apple Tea sambil melihat-lihat koleksi sejadah, karpet dan alas meja kepunyaan Yunus. Kebanyakkan sejadah itu adalah hasil tangan gadis-gadis di kawasan pendalaman. Dibeli dengan harga murah lalu dia menjualnya kembali di sini.

Satu-satu Yunus mengeluarkan segala jenis sejadah yang ada. Baik dari hasil tangan ataupun yang di perbuat daripada mesin. Saya masih berkira-kira saat teman-teman yang lain sudah memilih sejadah masing-masing. Dalam hati masih risau jika kami di tipu. Sedari awal lagi Yunus tegaskan, tidak mengapa kalau tidak mahu membeli. Tapi dia tetap akan layan tetamunya sebaik mungkin.

Apple tea sudah habis secawan, sejadah sudah bermacam warna dan design dikeluarkan. Saya masih lagi diam tanpa jawapan. Melihat saya masih berfikir panjang, dia bertanya
“What is in your mind sister? Tell me” saya tergelak.

“Nowadays everything is in the internet. If you good to your customer, people always give you a good review otherwise people always talking bad about you”

Saya mengakui ada betulnya apa yang di kongsi Yunus. Segala benda berada di hujung jari. Kalau kita buat baik, orang serata dunia akan bercerita perihal yang baik-baik. Tapi kalau kita menipu, sekejab sahaja maklumat akan tersebar. This is how borderless world help us to be better.

Dengan segala kecelaruan dalam diri, akhirnya saya cuma membeli sehelai sahaja sejadah dari Yunus dengan harga 35 Turki Lira, sekadar memujuk hati supaya tidak kecewa bila tiba di Istanbul nanti ahaa.Sebelum beredar, Yunus sempat pesan kalau ada apa-apa masalah boleh hubungi dia. InsyaAllah dia akan cuba membantu.

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Petang itu masing-masing pulang dengan penuh barang di tangan. Hampir separuh hati tertawan dengan kebaikkan dan keramahan Yunus. Sedikit terinspirasi dari dia dengan caranya dalam mengelola perniagaan. Jujur apa yang Islam ajarkan. Dan saat jujur itu hampir terhakis dari setiap antara kita, saya masih temuinya dalam diri seorang yang bernama Yunus Vurmaz, nun jauh di Turki :)

Monday, September 14, 2015

Reception | Edfarizal & Basyirah


For booking or inquiries, email to norizan.syahnan@gmail.com