Monday, June 22, 2015

Nota Ramadan #2


“Adakalanya Tuhan timpakan musibah pada orang lain agar ia menjadi cerminan pada kita. Untuk sama-sama belajar dari kesilapan”


Andai bukan kerana kerusi tidak cukup tatkala berbuka senja itu pasti saya pun tidak tahu menahu apa yang berlaku. Entah kenapa semua cerita-cerita emak kerap bermain-main dalam kepala. Perihal seorang nenek yang sudah separuh abad datang menumpang di rumah.

Dia hanya ada seorang anak perempuan, tinggal di hujung jalan kawasan perumahan kami. Anak perempuannya baik, tapi Tuhan uji dia dengan kehadiran menantu lelaki. Hidupnya nomad, tak pernah berlama-lama di sini. Adakalanya dia tinggal di rumah adik-beradiknya atau menumpang kasih anak-anak buah yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Cuma Ramadan kali ini, anak perempuanya mengajak dia kembali ke rumah untuk berpuasa bersama. Seperti selalu, hadirnya dia tidak disukai oleh menantu. Habis semua pinggan mangkuk diasingkan. Kuman katanya jika berkongsi pinggan dengan wanita tua itu. Pili air ditutup tidak boleh membasuh dan berwuduk. Dan saya kira banyak lagi yang emak cerita. Cuma cukup saya simpulkan semua itu adalah satu kebiadapan seorang anak biarpun wanita itu sekadar ibu mertua.

Rumah itu tidak pernah tenang. Anak-menantunya tak pernah sehaluan. Sebab itu dia lebih suka menyinggah ke rumah-rumah jiran tetangga saat anak perempuanya keluar bekerja. Satu hari dia datang menyinggah ke rumah kami, bersembang dengan emak.

Dari sehari ke sehari, dari datang menyembang, tumpang berbuka terus diajak emak untuk bermalam sahaja di rumah. Kasihan kata emak, bulan-bulan puasa ni. Anak perempuanya pun bersetuju dari melihat ibunya sakit hati diperlakukan sedemikan rupa oleh suami sendiri.

Saya tidak pasti jika mana saya berada di tempat anak perempuan nenek tu. Dilemma buat seorang wanita. Memilih ibu mahupun suami. Dan saya lihat kerisauan emak itu sama. Andai nasib dia juga begitu (moga Allah jauhkan dari kami adik-beradik). Mungkin kita sebagai anak berusaha untuk jadi anak terbaik buat mereka, tapi pasangan kita belum tentu.

Orang boleh kata “itulah dulu tak nak pilih pasangan betul-betul”. Tapi saya kira, sebaik mana pun pilihan kita dulu, manusia boleh berubah. Berubah seiring dengan waktu. Untung andai perubahan itu kearah kebaikkan, maka kebaikan itu juga untuk diri mereka sendiri. Tapi andai sebaliknya, hanya Allah sahaja yang tahu apa yang dia rencanakan untuk kita.

Adakalanya Tuhan berikan anak yang baik, tapi tidak pada menantu
Adakalanya Tuhan berikan suami yang baik, tapi tidak pada mertua
Adakalanya Tuhan berikan suami dan mertua yang baik, tapi bukan pada ipar duai.

Entahla aturan Allah tu aneh-aneh, tapi semuanya adalah yang terbaik. Mungkin Ramadan ini ada sesuatu yang Tuhan ingin ajarkan pada kami sekeluarga. Perihal wanita itu.



Nota kaki: Semalam sebelum pulang terbaca nota adik bongsu saya yang emak kepitkan pada cermin solek dibiliknya. Tersenyum seorang, tapi dalam hati seakan mahu pecah menahan tangis T_T

1 comment:

WaFa' aN-NiSa' said...

tersentuh baca coretan ijan yang ini (T_T)